Perubahan Harga Emas dan Perak Semasa

Monday, February 7, 2011

Emas dan Perak Penyimpan Nilai Harta

Alhamdulillah sejak bertambahnya masyarakat mengetahui tentang harga emas dan perak yang saban tahun semakin meningkat, satu fenomena baru tercetus. Permintaan tinggi terhadap jongkong emas, perak, dinar dan dirham telah menumbuhkan beberapa syarikat baru di Malaysia selepas Public Fine Gold untuk menghasilkan bullion ini. Harga yang dijual berbeza antara produk-produk yang sama oleh syarikat-syarikat ini, walaupun umumnya semua turun dan naik berdasarkan harga semasa. Komsiyen jualan, perbezaan harga jual-beli dan servis berbeza. Persaingan bermula.

Namun disebabkan minda masyarakat masih tidak lari daripada memikirkan keuntungan dalam bentuk duit kertas, maka matlamat asal memiliki emas dan perak sebagai penyimpan nilai tidak didahulukan, apatah lagi usaha untuk menggunakan dinar dan dirham, nampaknya terlalu sedikit. Apa yang penting, untung dalam bentuk nombor-nombor yang tertulis atas kertas atau dalam akaun bank mesti banyak, bukannya kuantiti (bergram-gram atau berkilo-kilo) emas dan perak dalam simpanan.

Saya tidak menentang hasrat pelabur/peniaga emas kecil-kecilan atau besar-besar ini menambah jumlah duit kertas atau nombor-nombor dalam akaun bank asalkan semua lebihan duit tersebut ditukarkan kembali menjadi ketulan-ketulan emas dan perak. Tetapi dek terlalu leka dengan duit kertas hasil untung melabur dan berniaga emas, simpanan emas peribadi sedikit atau tiada langsung. Kita berhasrat untuk menambahkan jumlah emas/perak dinar/dirham dalam masyarakat, kemudian mula menggunakannya sesama kita dan mengeluarkan zakat. Akhirnya insya Allah dinar dan dirham akan kembali menjadi matawang dunia Islam.

Betulkan niat dan matlamat memegang emas dan perak.

1 comment:

  1. assalamualaikum, boleh sy dapatkan pandangan Dr berkenaan pelaburan antara Gold passbook dan gold fizikal? sy baru nak belajar dalam pelaburan gold..jd nak mintak pendapat Dr.

    ReplyDelete