Perubahan Harga Emas dan Perak Semasa

Wednesday, September 15, 2010

Berkecimpung dengan emas - mulakan langkah pertama (1)



Salam rakan-rakan dan para pembaca sekalian,

Kita masih berada di bulan awal syawal. Tidak lambat lagi sekiranya saya mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua. Saya baru saja sampai dari kampung semalam. Cuti hampi 2 minggu di kampung telah saya gunakan untuk bersama ibu-bapa, adik-adik, saudara-mara dan rakan taulan. Selain bercerita tentang kehidupan masing-masing setelah hampir setahun tidak bertemu, sempat juga saya menyelitkan kisah-kisah emas, perak, dinar dan dirham.Seronok berkongsi pengalaman sebagai penyimpan, pelabur dan peniaga emas dan perak dengan mereka. 

Seperti yang disangkakan, semua mengetahui bahawa emas dan perak ini merupakan logam yang bernilai dan semua menyukainya. Malah ramai telah menyedari kenaikan emas dan perak yang mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Namun ramai yang masih terpinga-pinga tidak tahu bila dan bagaimana mahu bermula.

Baiklah para pembaca yang budiman, hari ini saya cuba meringkaskan bagaimana kita boleh memulakan langkah pertama dan berkecimpung dalam dunia emas dan perak. Saya akan kongsikan dengan anda pengalaman peribadi, pengalaman saudagar-saudagar emas dan pemahaman saya hasil pembacaan hampir setahun yang lalu tentang topik-topik emas dan perak. Perkara yang paling penting selama berkecimpung dalam dunia emas dan perak ialah ilmu. Mulakan langkah dengan ilmu dan sentiasalah mendalami ilmu-ilmu emas dan perak sepanjang perjalanan anda. Semoga anda mendapat manfaat daripada pembacaan hari ini.

Kita mulakan dengan persoalan. kenapa kita perlu menyimpan emas dan perak ? Emas dan perak adalah aset dan kekayaan yang sebenar seperti juga tanah. Lagi banyak kita menyimpan emas dan perak dan lagi luas hektar tanah yang kita miliki, secara umumnya lagi kayalah kita. Kekayaan ini adalah kekayaan yang 'real' bukannya aset atas kertas seperti saham atau dalam bentuk hutang.

Emas dan perak tidak mudah untuk dibinasakan. Bakar, ketuk, tanam dan apa jua kaedah mungkin akan mengubah bentuknya tetapi emas dan perak masih bernilai dalam apa jua bentuk dan rupa. Ia juga tidak dimamah usia. Nilainya tetap tidak hilang walaupun dikerat seribu. Kebanyakan harta lain akan berkurang nilanya dan akhirnya binasa selepas satu tempoh yang panjang. Contohnya deretan rumah kedai yang mungkin kita miliki akan dapat bertahan untuk satu atau dua generasi sahaja. Tetapi emas dan perak boleh menjadi warisan sepanjang umur manusia di bumi ini. Apatah lagi kalau kita menyimpan harta dalam bentuk duit kertas, terlalu mudah untuk binasa dan sejarah telah membuktikan sistem wang kertas tidak pernah bertahan lama. Pernah dengan wang jepun atau duit pisang suatu ketika dahulu di Malaysia? Hilang aje kuasa Jepun di Tanah Melayu, wangnya sesen pun tidak bernilai walaupun ada berguni di bawah rumah.

Harga emas dan perak semakin meningkat. Seperti yang saya nyatakan, hal ini telah disedari ramai. Semasa awal tahun 2000 harga emas kurang daripada RM 50/gram tapi hari ini telah meningkat sehingga sekitar RM140/gram. Cuba pergi gadaikan cincin emas kahwin anda yang dibeli pada tahun 2000 dan lihat perbezaan harganya.  Rantai emas sepuluh yang nenek kesayangan saya pakai beratnya dalam 80g, hanya berharga sekitar RM2000 pada pertengahan 90an tapi sekarang sudah mencecah harga lebih RM12 000. Dia hanya memakainya saban tahun. Okay, kita lihat graf kenaikan harga emas. Saya petik dari laman web kitco :




Purata kenaikan harga emas sekitar 27 peratus setahun (25-35%).Wow hebat !Simpanan biasa di bank, simpanan tetap, simpanan Tabung Haji, saham amanah, KWSP dan lain-lain tiada yang mampu memberi pulangan sebanyak ini. Saham amanah saya yang katanya terbaik di Malaysia yang saya simpan sejak mula bekerja sepuluh tahun lalu hanya memberi pulangan 15% saja setahun. Semuanya dah saya leburkan menjadi ketulan emas dan perak.

Kenapa perkara ini terjadi - para pembaca sekalian. Nilai emas dan perak sebenarnya tidak berubah sejak berkurun lamanya. Seekor kambing besar 1400 dahulu berharga 1 dinar (4.25g emas), hari ini tetap harganya 1 dinar. Seekor ayam kekal harganya 1 dirham (3g perak) sejak berkurun lamanya. Apa yang berlaku adalah kejatuhan nilai wang kertas yang menyebabkan harga emas dan perak meningkat.  Semasa bersekolah di tahun 80 an ayah hanya membekalkan saya 30 sen dan cukup untuk belanja di sekolah tetapi hari ini saya membekalkan anak aya di sekolah rendah RM3.00 untuk membeli makanan dan minuman yang serupa dengan apa yang saya beli dahulu. 10 kali ganda jumlahnya. Inilah yang dikatakan kuasa beli wang kertas yang merosot dalam jangka masa panjang. Duit kertas boleh dimanipulasi dan dicetak oleh penguasa negara yang menyebabkan lambakan duit di dalam negara dan seterusnya mengurangkan nilainya dan menyebabkan inflasi dan hyperinflasi ( sila baca tulisan saya - kita di rompak) tetapi emas dan perak tidak boleh dimanipulasi. Ruginya menyimpan duit kertas. Untungnya menyimpan emas dan perak. 

Emas dan perak juga laku di mana-mana sahaja di dunia ini. Ringgit hanya di terima di Malaysia sebagai medium jual beli, dong hanya laku di vietnam, rupiah hanya boleh digunakan di Indonesia, rupee hanya menjadi matawang India tetapi emas boleh digunakan di semua negara tersebut dan negara-negara lain. Emas dan perak diterima sebagai medium pertukaran di semua negara dan boleh ditukarkan kepada matawang negara yang kita berada.

No comments:

Post a Comment